Dakwa Dr Khairuddin di mahkamah – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak mendesak supaya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa di mahkamah berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib, dua bulan lalu.

Bekas Perdana Menteri berkata ia bukan kerana beliau mahu mengecam PAS, namun kerana ramai amat tidak berpuas hati berhubung perkara itu.

“Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya sebab saya difahamkan KKM atau imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia.

“Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH sebab saya dah bosan tengok (Lim) Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Najib turut meminta Kit Siang yang juga Penasihat DAP supaya mengecam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengaku melanggar perintah kuarantin kendiri di rumah.

Beberapa hari lalu, Amirudin menerusi hantaran di media sosial memohon maaf kerana terpaksa melanggar arahan kuarantin kendiri kerana turun padang memantau isu pencemaran air di Selangor.

Sementara itu, menerusi hantaran sama, Najib meminta kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar untuk kluster Meru.

Beliau juga mencadangkan larangan rentas negeri di Semenanjung bagi semua trafik bukan komersial selama dua minggu dan menasihatkan rakyat tidak pulang ke kampung sementara waktu supaya Covid-19 tidak berjangkit kepada orang tua mereka.

“Lanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal bagi seluruh Sabah selagi masih dalam PKPD.

“Galakkan semua majikan swasta untuk benarkan kakitangan kerja dari rumah. Arahkan semua kakitangan kerajaan dan syarikat berkait kerajaan untuk kerja dari rumah jika tidak diperlukan berada di pejabat.

“Benarkan premis-premis makanan untuk buka meja di kaki lima atau luar premis tanpa didenda sebab risiko penularan lebih rendah jika makan di luar (open air),” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak mahu menutup sekolah, arahkan semua sekolah untuk beri kelonggaran dan tidak menghukum murid yang tidak hadir sebab ibu bapa bimbang penularan Covid-19.

“Sediakan pelajaran setiap hari dalam talian atau dihantar melalui WhatsApp kepada ibu bapa jika cikgu boleh,” katanya. – Malaysiapost