HANYA kerana enggan memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah farmasi, seorang wanita didenda RM1,000 di Sibu, Sarawak, semalam.
Wanita berusia 48 tahun itu didapati melanggar prosedur pengendalian standard (SOP) Perintah Kawal Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada jam 2.30 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Jonathan Ringgit berkata satu rakaman video yang tular menunjukkan wanita itu memaki seorang kakitangan di kaunter farmasi di Jalan Kampung Nyabor.
“Polis yang bertindak berdasarkan rakaman video itu telah menjalankan siasatan yang menjurus kepada penangkapan wanita itu,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Jonathan berkata, siasatan mendapati insiden berlaku apabila kakitangan farmasi berkenaan menegur wanita tersebut kerana tidak memakai pelitup muka.
“Wanita itu juga marah apabila dia dipanggil dengan panggilan ‘auntie’ (makcik) sehingga menyebabkan pertengkaran mulut,” jelasnya.
Katanya, wanita itu berjaya dikesan susulan satu laporan polis yang diterima pada jam 2.30 petang semalam.
“Suspek menyatakan dia berang kerana dipanggil sebagai ‘auntie’ dan tidak berpuas hati serta mengaku mempunyai insomnia (sukar tidur malam),” katanya sambil menambah wanita itu mudah meninggikan suara dan ketawa sendiri ketika disoal siasat. – Malaysiapost

