Perkhidmatan Monorel tergendala, Tajuddin turun padang

0
1

Nurul Huda Abhar

PENGERUSI Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meninjau sendiri situasi terkini perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur (Monorel KL) selepas dibaik pulih, pagi tadi.

Beliau turut meminta maaf kepada pengguna perkhidmatan Monorel KL atas gangguan yang berlaku pada awal pagi tadi.

“Saya harap orang ramai faham situasi ini, ia tak dapat dielakkan. Apa yang mustahak ialah tindakan Prasarana dalam membuat pemulihan segera,” katanya ketika sidang media di Depot Monorel, Brickfield hari ini.

Tajuddin juga turun padang melawat tapak penyelenggaraan tren tersebut untuk melihat proses-proses pemulihan yang telah dilaksanakan.

Di samping itu, beliau menegaskan adalah menjadi keutamaan Prasarana memberi perkhidmatan terbaik dan efisien kepada penumpang.

Katanya lagi, menerusi tinjauan yang dilakukan, beliau melihat kakitangan Rapid KL menjalankan tugas dengan cekap dalam menyelesaikan gangguan yang berlaku.

“Saya bimbang akan jejas perkhidmatan tren. Jadi Prasarana cuba yang terbaik kepada penumpang. Kita ambil berat dan cuba membuat penambahbaikkan bagi keselesaan penumpang,” katanya lagi.

Hari ini, penumpang Monorel KL tidak dapat menggunakan perkhidmatan tren berikutan terdapat kerosakan berpunca daripada sebuah “workcar” yang terkandas.

Ia disebabkan oleh “bogie” atau kerangka membawa roda yang dipasang pada gerabak rosak ketika memasuki depot pada jam 4.35 pagi tadi.

Workcar adalah kenderaan yang digunakan untuk semua kerja penyelenggaraan di trek.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu mula beroperasi dengan tren pertama pada jam 7.57 pagi, dan kembali pulih keseluruhannya pada jam 9.42 pagi. – Malaysiapost