LRA Sungai Semenyih mula operasi

0
1

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula mengoperasikan pam air mentah bagi kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air, pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan hasil pensampelan di muka sauk LRA terbabit mencatatkan bacaan sifar TON iaitu kadar ukuran bau, tiga kali berturut-turut.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata usaha merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa selama 12 jam sebelum bekalan boleh diagihkan kepada pengguna.

“Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti dan pematuhan standard Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun ujian pensampelan di muka sauk LRA Bukit Tampoi mengenal pasti bacaan dua TON, setakat jam 6 pagi tadi.

Sebelum ini, media melaporkan aktiviti pencucian secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan, disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Susulan itu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sejak jam 4.30 petang, kelmarin. -Malaysiapost