Covid-19: Pasar Besar Jitra tutup kekang penularan

0
1

SEMUA aktiviti perniagaan melalui gerai jualan terbuka dan tertutup di Pasar Besar Jitra, Kedah ditutup mulai semalam, hingga Khamis.

Keputusan itu dibuat bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MDKP), Azmin Zainol, berkata arahan penutupan dan menghentikan operasi perniagaan itu turut membabitkan gerai buah, pasar pagi, perhentian bas dan tandas awam di Pekan Jitra 2.

“Merujuk kepada penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di Kedah dan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), arahan ini dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu.

“Sehubungan itu semua jenis pasar dan gerai yang disebut termasuk perhentian bas dan tandas awam di Pekan Jitra 2 ditutup bermula jam 5 petang semalam sehingga 12 tengah malam Khamis ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmin berkata, arahan itu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan peniaga dan orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19 dengan lebih meluas.

Katanya, MDKP sangat mengharapkan kerjasama semua pihak bagi membendung penularan wabak dengan lebih berkesan.

“Sekiranya terdapat peniaga gagal atau ingkar arahan ini, penguatkuasaan serta tindakan boleh diambil menurut undang-undang yang diperuntukkan.

“Penguatkuasaan boleh dijalankan bersama pihak polis di bawah Akta pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, Akta Polis 1967 (Akta 344 serta undang-undang kecil MPKP,” katanya. -Malaysiapost