Fitri Nizam
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memohon maaf selepas dirinya disahkan positif Covid-19.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan tempoh masa yang diberikan ketika ini memberi peluang kepadanya untuk bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan untuk masa depan.
Zulkifli berkata, ujian yang menimpa dirinya tidak menghalang beliau menjalankan amanah dan tanggungjawab yang digalasnya.
“Ia tetap menjadi amanah dan tanggungjawab buat saya dalam melaporkan sebarang perkembangan tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, setiap bulan sebagaimana yang saya telah lakukan sejak Mac 2020.
“Justeru, saya lampirkan di sini Kad Laporan Bulan Ogos 2020 bagi agensi -agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan terkait tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat,” katanya di Facebook, pagi ini.
Beliau berkata, jadualnya pada bulan Ogos, kebanyakannya tertumpu di Parlimen.
“Pun begitu, Alhamdulillah, agensi-agensi di bawah saya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited.
“Kad Laporan ini tidaklah melaporkan keseluruhan program dan aktiviti semua agensi di bawah saya. Saya sarankan anda merujuk terus ke media sosial setiap agensi untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Beliau berharap berdasarkan Kad Laporan Bulanan yang disediakan dapat memberi gambaran berhubung program yang telah dilaksanakan setiap bulan terutamanya fokus kementeriannya terhadap isu wabak Covid-19.
“Insya-Allah Kad Laporan September 2020 akan menyusul,” katanya.
Menerusi kad laporan itu, antara program yang dilaksanakan adalah penubuhan Jawatankuasa TaskForce Menangani Isu Agama di Media Sosial, Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan, Bantuan Musaadah COVID-19 dan sumbangan ‘food bank’ dan bantuan kepada golongan memerlukan. -Malaysiapost

