6 syarikat telekomunikasi dikompaun RM700,000

0
1

SEBANYAK 15 kompaun bernilai RM700,000 dikeluarkan pada 1 Oktober lalu kepada syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna, tahun lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, semua kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dibaca bersama Seksyen 242 Akta sama.

Jika sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SKMM berkata, mendahului senarai penerima jumlah kompaun tertinggi ialah U Mobile Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000.

“Ini diikuti dengan Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn Bhd, masing-masing dengan tiga kompaun bernilai RM150,000.

“Maxis Broadband Sdn Bhd pula dikenakan sebanyak dua kompaun bernilai RM100,000 manakala YTL Communications Sdn Bhd dan Tone Plus Sdn Bhd masing-masing dengan satu kompaun berjumlah RM40,000 dan RM10,000,” kata kenyataan itu.

SKMM bwrkata, tindakan diambil mencerminkan ketegasan dan komitmen pihaknya memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

“Ia juga bagi memastikan proses pendaftaran kad SIM prabayar mematuhi garis panduan ditetapkan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Selain tindakan penguatkuasaan, pelbagai langkah proaktif lain turut diambil oleh SKMM. Antaranya, pendaftaran kad SIM menggunakan Platform Automatik yang sulit (encrypted) dan terjamin saja.

“Selain itu, penyedia perkhidmatan tidak akan mendaftarkan mana-mana pelanggan baharu untuk memiliki lebih daripada lima kad SIM untuk setiap individu,” katanya.

SKMM menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan. -Malaysiapost