BAYI perempuan berusia setahun antara empat mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu dan kesihatannya merosot serta memerlukan bantuan pernafasan.
“Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober dan bayi disahkan meninggal dunia 4.25 petang hari sama,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, satu lagi kematian membabitkan lelaki warganegara berumur 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan pada 25 September dan didapati positif pada 26 September.
Katanya, keadaan kesihatan mangsa didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.
“Kematian ke-139 (iaitu kes ke-12,431) adalah lelaki warganegara berumur 60 tahun dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu.
“Saringan Covid-19 didapati positif pada 30 September dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober jam 5.05 pagi,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13,067) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.
“Mangsa ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Kes meninggal dunia pada jam 7.50 pagi pada 5 Oktober,” katanya. – Malaysiapost

