PEMBERSIHAN reban itik dan angsa secara besar-besaran di Sungai Pajam dan aktiviti perindustrian Nilai 3 berdekatan Sungai Batang Benar, dipercayai punca pencemaran, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains dan Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian, berkata ia punca Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berhenti operasi semalam selepas pencemaran di Sungai Semenyih dan Sungai Langat dikesan.
Katanya, bacaan setakat jam 9.30 pagi tadi di LRA Sungai Semenyih menunjukkan tahap 8 ton dan masih tidak mampu dibuka untuk operasi semula kerana masih berbau.
“Kita mengenalpasti punca awal yang mana kami mengesyaki potensi punca bau berlaku membabitkan dua sungai di Negeri Sembilan iaitu Sungai Batang Benar dan Sungai Pajam dan di Selangor tiada kesan punca pencemarannya.
“Jadi, siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), mengenalpasti dan mengesyaki kawasan perindustrian Nilai 3 (Sungai Batang Benar) dan aktiviti pembersihan besar-besaran reban itik dan angsa di ladang sebelah Sungai Pajam, sebagai punca pencemaran bau ini.
“Kita dapati jam 9 hingga 9.30 pagi semalam berlaku aktiviti besar pembersihan di reban itik dan angsa tepi sungai itu sehingga menyebabkan bau kuat dan bukannya disebabkan minyak namun punca sebenar menerusi siasatan terperinci belum diperoleh,” katanya dalam sidang media.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu berkata, rentetan daripada kejadian itu, pihaknya mengarahkan Jabatan Alam Sekitar, badan kawal selia air termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan untuk menyiasat segera, selain Exco dan Menteri Besar Negeri Sembilan sudah dimaklumkan.
Katanya, pihaknya akan menumpukan perhatian terhadap kawasan Perindustrian Nilai 3 dan aktiviti reban itik dan angsa di negeri itu untuk mengenalpasti punca sebenar menyebabkan pencemaran bau.
Sementara itu, Loy Sian berkata, loji rawatan air yang ditutup sejak semalam hanya dibuka operasinya semula sekiranya bacaan ton turun kepada 0 yang mana bacaan tinggi 11 ton lewat malam tadi kini menurun sedikit kepada 8.
“Kita telah meletakkan dua pam di Sungai Buah yang berupaya membekalkan 27 juta liter air sehari untuk mencairkan sungai dan 300 juta liter di Empagan Semenyih dengan harapan proses pencairan berlaku segera.
“Justeru kita akan membuat laporan polis menerusi Pegawai Daerah Sepang dan juga LUAS (menentukan sebarang unsur jenayah).
“JAS akan mengambil tindakan jika mengenalpasti punca dan pelakunya selain laporan polis dan sementara itu kita sediakan lori tangki air sebagai alternatif menangani pengguna terjejas,”katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Awani

