PERBICARAAN rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion membabitkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan hari ini kerana Ahli Parlimen Pekan itu perlu menjalani kuarantin kendiri Covid-19.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa prosiding mahkamah terbuka pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir di mahkamah hari ini.
Penangguhan kes itu kemudian diikuti dengan penangguhan perbicaraan rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan penularan Covid-19.
Zahid dan Najib dilaporkan turut serta dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu.
Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pagi ini, peguam bela utama Muhammad Shafee mengatakan bahawa Najib kini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya dari 28 September hingga 12 Oktober.
Peguam itu mengatakan, kuarantin itu dibuat selepas Najib mengambil ujian Covid-19 di Sabah, sebelum tertuduh mengambil penerbangan pulang ke Semenanjung Malaysia.
“Hasil daripada pilihan raya di Sabah dan penularan Covid-19 dalam jumlah yang semakin meningkat yang dikenali sebagai faktor Sabah, anak guam saya, Najib, yang berada di sana bersama dengan hampir semua ahli politik dan menteri yang relevan, terperangkap dengan faktor ini, bahawa mereka terdedah kepada orang yang (kemudian) didapati positif (Covid-19).
“Dalam kempen pilihan raya itu, isu penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka dipatuhi sebaik mungkin. Tetapi dalam keadaan seperti itu tidak dapat (mencapai) 100 peratus (kepatuhan).
“Ketika saya bertanya kepada anak guam saya apakah dia (Najib) terdedah kepada orang yang diketahui positif, dia berkata “Ya” tetapi dia tidak tahu sejauh mana.
“Dia telah mengambil jalan yang bertanggungjawab untuk membuat ujian Covid-19 pada 27 September di Sabah sebelum mengambil penerbangan (kembali ke Semenanjung Malaysia).
“Dalam ujian ini di Hospital Pantai di Sabah, menurut laporan makmal untuk Covid-19, ia ditulis sebagai negatif,” kata Shafee.
Shafee mengatakan bahawa anak guamnya bertindak berdasarkan nasihat yang diberikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa walaupun seseorang diuji negatif untuk Covid-19, masih digalakkan menjalani kuarantin 14 hari.
Peguam itu mengatakan bahawa Najib ingin mengelakkan situasi yang serupa dengan seorang menteri yang tidak disebutkan namanya yang dikritik hebat kerana tidak mematuhi kuarantin.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan menyerahkan kepada Sequerah untuk memutuskan perkara itu.
Hakim kemudian membenarkan permohonan pembelaan untuk mengosongkan tarikh perbicaraan bukan hanya untuk hari ini tetapi juga Selasa hingga Khamis minggu ini.
Perbicaraan akan disambung pada 19 Oktober.
Najib dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.
Selain menjadi perdana menteri ketika itu, tertuduh juga merupakan menteri kewangan dan ketua lembaga penasihat 1MDB. -Malaysiapost

