PUSAT membeli-belah 1 Utama menjadi premis terbaru mencatatkan kes positif Covid-19, hari ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurusan 1 Utama atau lebih dikenali OU melalui kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman Facebook, tengah hari tadi.
“Seperti mana dunia terkejut dengan pengumuman Donald Trump dan keputusan diagnosis Covid-19 baru-baru ini, kini giliran kami pula.
“Dengan hati yang berat bahawa kami telah mengetahui secara verbal bahawa terdapat satu kes Covid-19 membabitkan pekerja Mac City Servive Centre (Lot S330, Tingkat 2 1 Utama),” kata kenyataan itu.
OU memkalumkan, pekerja itu kali terakhir memasuki bangunan berkenaan dengan suhu di bawah 37.4 darjah celcius bagaimanapun difahamkan tidak memasuki premis mereka selepas habis bekerja pada 30 September lalu dan menjalani ‘off day’ nya pada keesokan harinya.
“Selepas keputusannya dikeluarkan, pekerja terbabit juga kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan manakala rakan-rakan pekerja pula sedang menjalani kuarantin,” katanya. -Malaysiapost



