Kerajaan perlu pertimbang bantuan RM500 pelajar

0
1
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2018. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

KERAJAAN perlu mempertimbangkan cadangan pemberian bayaran ‘one-off’ sekurang-kurangnya RM500 kepada pelajar universiti yang terkesan dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini bagi mengurangkan bebanan mereka yang telah mengeluarkan belanja awal termasuk kos pengangkutan dan pendahuluan rumah sewa.

“Pelajar terpaksa akur dengan keputusan KPT yang menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus bagi sesi akademik Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun KPT mempunyai justifikasi kukuh untuk tidak mahu mengambil risiko susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

“Namun keputusan di saat akhir hakikatnya memberi kesan kepada sebahagian besar mahasiswa.

“Justeru, Pemuda Umno menyarankan agar pihak KPT dapat membawa cadangan ini dalam Mesyuarat Kabinet minggu ini agar dipertimbangkan bagi mengurangkan bebanan pelajar dan keluarga mereka,” katanya.

Pada 3 Oktober lalu, KPT menangguhkan kepulangan semula pelajar ke kampus demi memastikan keselamatan mereka dan masyarakat terjamin, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Susulan itu, kebanyakan pelajar dan ibu bapa menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan saat akhir tersebut yang disifatkan tindakan tidak bertanggungjawab.

Ia kerana terdapat pelajar yang telah kembali ke IPT masing-masing bagi sesi pendaftaran yang dijadualkan berlangsung awal Oktober. -Malaysiapost