PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Pulau Pinang menafikan mengeluarkan kenyataan menuntut Exco Kerajaan Negeri Kedah memohon maaf dan membayar pampasan kepada semua ibu bapa dan guru sekolah berkenaan susulan kes positif Covid-19 di sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata Yang Dipertua PIBG sekolah terbabit membuat laporan polis susulan kenyataan itu yang tular sejak tengah hari semalam.
“Kenyataan terbabit itu palsu, PIBG sekolah terbabit tampil membuat laporan polis beberapa jam selepas ia tersebar luas.
“Beliau sudah membuat laporan polis dan menafikan bahawa beliau atau ahli PIBG lain mengeluarkan kenyataan terbabit,” katanya seperti dilapor BH.
Difahamkan, PIBG sekolah berkenaan juga merujuk perkara itu ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan ia tidak lagi ditularkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM) 1998.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengarahkan SK Permatang Janggus ditutup sehingga 8 Oktober ini selepas guru wanita dikesan sebagai kontak rapat kepada suaminya iaitu Exco Kedah yang positif Covid-19 susulan berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah. -Malaysiapost

