UPSI minta Ustaz Ebit Lew mohon maaf

0
1

Nurul Huda Abhar

PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew memaklumkan beliau dihubungi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan diminta membuat permohonan maaf secara terbuka, atas tindakannya penyediakan bas percuma kepada pelajar.

Menurut Ebit, niat asalnya hanya menolong pelajar kurang berkemampuan pulang ke kampung dan berikutan terdapat sekatan itu, 20 bas yang telah disewa terpaksa ditangguh perjalanannya.

“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya terpaksa tangguhkan 20 bas. Asal saya niat buat semua ini untuk pelajar berdasarkan keluhan saya tanggung dan dengari.

“Sebab dulu saya berhari-hari lapar tu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit. Selalu tidur masjid saja dulu. Makan pun tumpang dekat masjid,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Ebit, beliau tidak mahu menyusahkan pelajar untuk ke hentian bas atau menaiki kereta api dan bersyukur perjalanan bas yang disediakannya malam tadi telah selamat sampai ke destinasi.

“Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat.

“Biasa naik bas bayar tapi kali ini free (percuma) dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke bus stop (hentian bas) dan naik train (kereta api). Saya tangguhkan 20 bas sehingga di beri kelulusan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI menghargai dan berterima kasih usaha murni Ustaz Ebit untuk menghantar pelajar pulang ke kampung dengan bas.

Bagaimanapun, MPP UPSI memaklumkan dalam keadaan krisis Covid-19 ini, semua pihak perlu mematuhi proses penghantaran pulang pelajar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Ini termasuk mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“UPSI amat terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan untuk mahasiswa UPSI.

“Bagaimanapun, MPP UPSI berharap sekiranya ada pihak yang ingin berbuat demikian, patuhilah SOP ditetapkan untuk mengelak perkara tidak diingini.

“Di kesempatan ini, MPP UPSI ingin mengingatkan mahasiswa agar sentiasa menjaga diri serta mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita semua terhindar daripada pandemik COVID-19 ini,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan hantaran Facebook oleh Ustaz Ebit Lew yang menyediakan bas percuma kepada pelajar UPSI untuk pulang ke kampung berikutan penangguhan pendaftaran pelajar baharu dan lama yang diumumkan KPT. – Malaysiapost