Mesyuarat kemas kini SOP masjid, surau esok

0
1

MAJLIS Fatwa Kebangsaan akan bermesyuarat esok bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata mesyuarat juga akan mengambil kira pelbagai pandangan dikemukakan mengenai isu berkenaan.

“Mesyuarat nanti bukan hanya akan membincangkan SOP di kawasan merah sahaja tetapi di semua kawasan,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Beliau berkata berkenaan ketika mengulas sama ada kerajaan akan mengehadkan semula jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Mengenai pergerakan pengikut Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Zulkifli berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Majlis Agama Islam Johor yang mengharamkan fahaman berkenaan kerana bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Katanya juga, setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk melakukan perbincangan dengan kumpulan terbabit yang didakwa telah menular ke negeri lain.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap kumpulan berkenaan, Zulkifli berkata, tindakan ke atas kumpulan itu adalah di bawah bidang kuasa majlis agama negeri masing-masing.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran KAFA Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Shah Alam, hari ini.

Seramai 80 peserta berusia tujuh hingga 12 tahun daripada 10 negeri menyertai pertandingan itu yang julung kali diadakan dalam norma baharu.

Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak bagaimanapun tidak menghantar wakil bagi kejohanan berkenaan berikutan Covid-19.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran (lelaki), johan dirangkul oleh Mohamad Hazman Ilias dari Kelantan manakala Ahmad Hazim Azrulrazi dan Ahmad Fahim Aminuddin dari Johor dan Pahang meraih tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran (perempuan) Khairunnizifah Imani Ishak dari Johor muncul sebagai johan manakala Nor Afiqah Razali dari Perak (pemenang kedua) dan Nur Zaedatul Amni Mohamad Zaki dari Kelantan di tempat ketiga. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama