433 individu ditahan kerana ingkar PKPP

0
1

Nilam Oshman

SERAMAI 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 345 individu dikompaun, 60 direman manakala 28 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk  tidak memakai pelitup muka (157), aktiviti dalam pub/kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46).

“Aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (satu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Benteng berjaya menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup.

“Daripada jumlah itu, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja menahan 27 PATI atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri sah serta cuba untuk keluar dari Malaysia melalui jalan tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor,” katanya. – Malaysiapost