Tangguh kemasukan IPT: Orang ramai ‘serang’ FB Noraini

0
2

PENGUMUMAN penangguhan proses pendaftaran penuntut universiti awam pada saat akhir mencetuskan kemarahan dan kekecewaan di kalangan penuntut serta ahli keluarga.

Tanpa mempedulikan platform sesuai untuk meluahkan kekecewaan dan kemarahan itu ramai di kalangan netizen memilih untuk ‘menyerang’ Facebook Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Tinjauan Malaysiapost di Facebook Noraini mendapati rata-rata netizen meminta beliau untuk meletakkan jawatan selepas dilihat gagal menangani isu ini dengan baik.

Antara komen diberikan adalah dari Chery Ang yang meluahkan kekecewaannya kerana terpaksa memandu lebih lapan jam hanya untuk mengetahui pendaftaran dibatalkan.

Selain itu, Abraham Amin menyoalkan kenapa menteri mengeluarkan kenyataan pada saat terakhir dan membuat ‘u-turn’ sehingga menyusahkan pelajar.

“Tahu tak berapa banyak duit parent (keluarga) dan student (pelajar) kena burn (hangus). Baik yb main tik tok je. Eloklah sepenggal je ni,” katanya.

Seorang lagi netizen, Muhd Amiruddin, berkata dengan isu Covid-19 masih belum selesai, menteri membuat ‘u-turn’ pada saat akhir.

“Sila undur diri dari kabinet dan letak jawatan. Terima kasih,” ringkasnya.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

Keputusan itu perlu dibuat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sehingga 260 kes iaitu kedua tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan.

Keputusan saat akhir itu menyebabkan ramai pelajar yang sudah membeli tiket penerbangan, rumah sewa dan kos perjalanan dari kampung ke universiti dibazirkan begitu saja.

Sementara itu, Noraini dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan berharap semua pihak dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, cadangan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta adalah susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu dan ia diluar jangkaan.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti. Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” katanya. -Malaysiapost