PELAWAK dan pelakon popular, Shuib Sepahtu akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai penyampai Hot FM.
Pengurusan stesen radio berkenaan menjelaskan pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Shuib selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Tahrim, berkata pihaknya maklum mengenai perkara itu dan setakat ini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Shuib.
“Dia boleh fokus kepada kerja seperti biasa. Lagipun dia hanya dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Khamis lalu, Shuib dan isterinya yang juga penyanyi, Siti Sarah, hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.
Siti Sarah dipercayai selesai memberi keterangan kira-kira jam 5 petang.
Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music memaklumkan Siti Sarah hanya menemani Shuib hadir ke ibu pejabat SPRM.
Pihak Indigital Music juga memaklumkan bahawa kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan. -Malaysiapost

