HANYA tiga jam saja diperlukan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk mengumpul dana sebanyak RM51,145.92 bagi membantu mahasiswa yang terkesan akibat keputusan saat akhir Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan kemasukan pelajar.
Kempen #TolongBantuMahasiswa digerakkan barisan pemimpin Muda selepas keputusan penangguhan pendaftaran mahasiswa secara fizikal di institut pengajian tinggi masing-masing diumumkan.
Muda dalam satu kenyataan berkata, pengumuman KPT tidak mempunyai maklumat lengkap dan dilakukan pada minit terakhir menyebabkan ramai mahasiswa terkandas serta memerlukan bantuan segera.
“Untuk pengetahuan semua, kempen ini menyasarkan kutipan RM50,000 untuk membantu mahasiswa. Selepas tiga jam (bermula jam 8.35 malam hingga 11.52 malam) kempen #TolongBantuMahasiswa ini mencapai sasarannya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, banyak inisiatif yang sama dilancarkan oleh pelbagai pihak untuk membantu mahasiswa dan ia membuktikan cerminan rakyat Malaysia yang saling bantu membantu.
Muda adalah satu parti yang diasaskan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman. – Malaysiapost

