Covid-19: Pemimpin dunia harap Trump sembuh

0
1

[DUNIA] PEMIMPIN dunia berharap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania segera sembuh selepas beliau mengumumkan sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada Khamis.

“Saya yakin anda bersikap optimis…semangat akan membantu anda melawan virus berbahaya ini.

“Sudah tentu kami berharap Trump akan segera sembuh,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov yang memetik ucapan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Memetik laporan AFP, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), Antonio Guterres turut memberi ucapan kepada Trump dan isteri supaya segera sembuh, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pula memberi ucapan yang sama kepada pasangan itu.

Mereka tetap menghantar ucapan kepada Presiden AS itu walaupun Trump sebelum ini memutuskan hubungan dengan WHO yang didakwanya gagal mengambil tindakan mencukupi dalam memerangi peringkat awal penularan COVID-19 dan mengecam pertubuhan itu kerana dikatakan mempunyai hubungan erat dengan China.

Selain itu, Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Charles Michel, turut berharap Trump dan isterinya segera sembuh melalui satu ciapan di Twitter.

“Semoga Trump dan Melania segera sembuh. Perjuangan bagi memerangi COVID-19 perlu diteruskan setiap hari. Tidak kira di mana kita berada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un turut menzahirkan simpati terhadap Trump dan isterinya.

“Beliau benar-benar berharap mereka berdua segera sembuh,” katanya.

Menurut laporan media Korea Selatan, Yonhap, ia adalah kali pertama Kim mennyampaikan mesej kepada pemimpin dunia yang disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri British, Boris Johnson yang sebelum ini turut dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama tiga hari, April lalu kerana positif COVID-19 turut memberi ucapan kepada Trump melalui ciapan di Twitter.

“Saya doakan yang terbaik untuk Trump dan isteri, semoga mereka cepat sembuh daripada COVID-19,” kata rakan sekutu Trump.

Antara pemimpin dunia lain yang turut menitipkan ucapan buat Trump termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Kanada, Justin Trudeau, Perdana Menteri India, Narendra Modi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.

Sementara itu, pemimpin Jordan, King Abdullah II, dalam ucapannya turut berharap Trump akan segera sembuh dan pada masa sama memaklumkan bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan AS dan negara lain bagi mengekang penularan COVID-19 dan implikasinya di seluruh dunia.

Di Africa, Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa turut menzahirkan ucapan buat Trump, manakala di Presiden Colombia, Ivan Duque yang menyampaikan solidaritinya melalui Twitter turut mendoakan kesihatan Trump dan isteri. -Malaysiapost