Nurul Huda Abhar
RAKYAT tidak perlu risau dengan peningkatan kes harian Covid-19 kerana kerajaan komited dalam memastikan semua pihak berada dalam keadaan selamat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di laman Facebooknya, sebentar tadi memaklumkan, beliau mengambil kira semua pandangan warganet yang dihantar dalam laman sosialnya.
Turut menggelarkan dirinya “Pak Long”, Ismail Sabri mengakui faham rakyat kini merasa gelisah, sedih dan marah berikut kes harian Covid-19 meningkat secara mendadak sejak tiga hari lalu.
“Pak Long ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi pandangan. Pak Long ambil pendapat kalian semua disudut pandang yang positif dalam melaksanakan yang terbaik untuk kalian semua.
“Pak Long sedar sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 yang tinggi melibatkan penyebaran utama dari pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu Kluster Benteng di Sabah, dan melibatkan tahanan penjara iaitu Kluster Tembok, Kedah sepertimana diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Ya, Pak Long tahu rakyat gelisah, sedih dan marah. Namun, ketahuilah Pak Long sedang melakukan sedaya upaya Pak Long untuk memastikan setiap rakyat berada dalam keadaan selamat,” tulisnya.
Menurut Ismail Sabri, melalui mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan untuk terus memperketatkan sempadan terutamanya Pantai Timur Sabah agar PATI tidak mudah lolos.
Selain itu, katanya, prosedur operasi standard (SOP) rentas daerah di Sabah juga dikeluarkan untuk memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat dikawal sebaiknya.
Tambahnya lagi, rakyat diminta untuk terus membuat kawalan kendiri dengan menjaga penjarakan sosial, pakai pelitup muka dan juga kerap mencuci tangan untuk melawan wabak Covid-19.
“Musuh kita, Covid-19 ini tidak akan hilang selagi vaksin tidak ditemui. Kita hampir berjaya melandaikan lengkungan sebelum ini, tiada sebab untuk kita berputus asa hari ini,” katanya. – Malaysiapost

