Radhi OAG didik masyarakat bahaya dadah melalui radio

0
2

PERNAH terjebak dengan pengambilan barang terlarang, vokalis kumpulan OAG, Mohd Radhi Razali terpanggil untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya dadah melalui radio.

Penyanyi berusia 43 tahun itu berkata, dia akan melancarkan radio dalam talian yang diberi nama ‘Manthul FM’ bagi berkongsi pengalaman hitamnya itu.

“Alhamdulillah… saya dan team akan membuka satu studio dan melancarkan radio online pertama dan slot kelolaan saya nanti akan mengetengahkan mengenai individu yang terjebak dadah.

“Sudah lama saya pasang impian nak kongsi pengalaman hidup dan saya tidak malu untuk akui saya seorang recovering addict kerana inilah kehidupan saya sekarang.

“InsyaAllah, 10 Oktober ini kita akan lancarkan Manthul FM… saya salah seorang penyampai! Untuk slot kendalian saya itu nanti kita akan bercerita tentang pengalaman, tapi jangan risau ada juga segmen lain yang menarik dalam radio itu nanti,” katanya seperti dilapor Mstar.

Radhi berkata dia bersedia menerima apa jua kritikan pendengar dan tidak bimbang dengan kecaman yang bakal diterima daripada mana-mana pihak yang berasa kurang senang dengan penubuhan Manthul FM ini.

Katanya, dia mahu memberi kesedaran kepada penagih dan bekas penagih untuk bangkit dan tidak berasa diri terasing hanya kerana pernah terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu. -Malaysiapost