PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Johnity Ongkili menyifatkan tiada asas untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimbangan perlantikan wakil PAS bagi menganggotai kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Menurut Ongkili, PBS telah menyuarakan pandangan mengenai cadangan perlantikan berkenaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.
Katanya, kerajaan perlu mengambil berat kebimbangan masyarakat Sabah dan sekaligus mempertimbangkan implikasi dari segi perundangan serta politik akibat dari cadangan tersebut.
“Walaupun PBS adalah rakan kongsi di dalam GRS, kami tidak terlibat dalam apa-apa perbincangan berkenaan peranan PAS dalam kerjasama politik, samada dalam kerajaan atau sebaliknya.
“Perbincangan tersebut adalah di luar kawalan PBS, dan diadakan di antara PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan BN (Barisan Nasional).
“Walaupun begitu, PBS mengikuti perkembangan mengenai kemungkinan PAS akan menyertai pentadbiran politik negeri melalui media massa dan sosial,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PBS.
Bagaimanapun, Ongkili berkata, pandangan mengenai perkara tersebut adalah sekadar spekulatif kerana pada masa kini, belum ada sebarang pengesahan mengenai keputusan kedudukan PAS dalam pentadbiran negeri Sabah dari Ketua Menteri atau GRS.
“Sebagai negara demokratik, sesiapa sahaja boleh membentuk parti politik dan mendaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan).
“Dan mana-mana parti yang berdaftar, atau rakyat Malaysia yang berkelayakan, boleh bertanding dalam pilihan raya, sama ada pilihan raya persekutuan atau negeri.
“Di bawah undang-undang Malaysia, tidak ada seorang pun, sama ada individu atau persatuan, yang dapat menghalang mana-mana parti politik atau individu dari bertanding dalam pilihan raya selagi mereka layak untuk melakukannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, tidak ada yang dapat menghalang penyertaan mana-mana parti jika mereka adalah rakan sekutu atau komponen dalam kerjasama atau gabungan politik yang telah diwujudkan untuk tujuan memenangi pilihan raya dan akhirnya pembentukan kerajaan.
“Namun, parti PAS tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihanraya negeri yang lalu.
“Saya yakin Ketua Menteri akan mempertimbangkan semua perkara ini, termasuk mengambil kira kebimbangan dan perkara sensitif dari pelbagai sudut agama di Sabah.
“Bagi PBS, pandangan kami adalah mudah – patuhi undang-undang. Amalkan prinsip menghormati kepercayaan masing-masing dan menggalakkan keamanan dan perpaduan di antara rakyat pelbagai kaum, walaupun mempunyai perbezaan kepercayaan agama, budaya, bahkan fahaman politik” katanya. – Malaysiapost

