KPLB pertimbangkan Tadika Kemas untuk M40

0
3

Nilam Oshman

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan Tabika Kemas untuk M40.

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dan kajian di pihak Kemas untuk dibentangkan di peringkat Kabinet bagi mewujudkan Tabika Kemas bagi M40 tersebut.

Katanya, tujuan asal pewujudan Tabika Kemas adalah untuk menawarkan peluang pendidikan awal bagi masyarakat berpendapatan rendah pada awal 70-an.

“Namun, setelah hampir 30 tahun beroperasi, jumlah permohonan kemasukan semakin meningkat khususnya daripada kumpulan pertengahan berdasarkan hasil kajian yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, cadangan dan kajian berkenaan merupakan usaha kementerian menerusi Kemas dalam membuka peluang kepada ibu bapa berpendapatan M40 menghantar anak-anak mereka bagi menangani isu kuota kemasukan di Tabika Kemas sedia ada.

“Pihak Kementerian akan mengenalpasti nama Tabika Kemas M40 yang sesuai setelah dibentangkan dan mendapat kelulusan dari Kabinet,” katanya.

Tambahnya, pihak Kemas memberi jaminan tiada istilah ‘double standard’ dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) meliputi modul, bahan pengajaran, fasiliti dan tenaga pengajar seperti mana yang dilaksanakan disemua premis Tabika Kemas pada masa kini. – Malaysiapost