Mohamaddin akan dipanggil beri keterangan

0
2

DATUK Mohamaddin Ketapi akan dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya ketika berceramah semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu dalam masa terdekat.

Katanya, pemimpin parti Warisan itu akan diambil keterangan di Sabah dan kesnya akan dikendali pasukan khas yang ditubuhkan.

“Kita akan panggil dia dalam masa terdekat, temujanji telah dibuat. Kita akan panggil dia di Sabah, dia juga setuju untuk tampil memberi keterangan.

“Kita ada pasukan ditubuhkan di Sabah termasuk dengan JSJ, untuk kendalikan kes ini,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, polis menerima sebanyak 97 laporan terhadap Mohamaddin berkenaan kenyataannya berkait peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali sebelum ini berkata, 62 laporan itu diterima di Sabah, di mana satu laporan dibuat oleh pejabat kesihatan Lahad Datu dan 35 di Semenanjung.

Mohamaddin disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kenyataan Mohamaddin dalam satu video tular apabila beliau mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, manakala pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.

Kenyataan beliau itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai melampau dan keterlaluan. -Malaysiapost