98 individu ditahan ingkar PKP

0
2

SERAMAI 98 individu ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 95 individu dikompaun manakala tiga direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (34), penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (lapan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Operasi Benteng berjaya menahan 34 pendatang tanpa izin (PATI) dan empat penyeludup serta merampas enam kenderaan darat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Ops Sanitasi Awam dibawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 10,159 operasi sanitasi merangkumi 135 zon sejak 30 Mac lalu.

“Sebanyak 13,065 premis disanitasi termasuk 2,716 pusat perniagaan, 1,601 kawasan perumahan termasuk PPR (Program Perumahan Rakyat), tempat awam (2,624), pasar raya (354), dan bangunan kerajaan (5,770),” katanya.

Beliau menambah, semalam sebanyak enam operasi sanitasi dilaksanakan iaitu masing-masing satu di zon Merah dan zon Kuning dan empat di zon Hijau.

“Ia melibatkan lima negeri antaranya Pulau Pinang (dua operasi), Kedah Sabah, Pahang dan Melaka masing-masing satu operasi,” katanya. -Malaysiapost