SEORANG lelaki cuba menyamun van sebuah syarikat keselamatan dengan bersenjatakan objek dipercayai pistol di sebuah bank di Pekan Batu Gajah, Melaka, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata dalam kejadian jam 3.40 petang itu, lelaki berkenaan dipercayai mengacukan pistol berkenaan ke arah seorang juruteknik sebuah syarikat keselamatan.
Beliau berkata, ketika kejadian juruteknik berusia 27 tahun bersama rakan setugasnya iaitu pengawal keselamatan yang membawa senjata jenis ‘pump gun’ baru selesai melakukan kerja di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM).
“Terdapat seorang pemandu yang sedang menunggu dalam van syarikat.
“Mangsa menoleh ke belakang dan mendapati rakan sekerjanya sudah dipegang oleh suspek sambil mengacukan objek menyerupai pistol berwarna hitam ke arah dada rakannya itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan wang berkenaan namun lelaki terbabit enggan berbuat demikian.
“Mangsa kemudian melarikan diri dengan membawa semua wang yang diambil daripada mesin CDM masuk ke dalam van ketika suspek sedang menolak rakannya ke arah pintu bank.
“Suspek kemudian panik dan melarikan diri ke arah belakang bangunan bank itu,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, ketika kejadian mangsa memasukkan wang ke dalam mesin ATM sebanyak RM60,000 dan mengutip wang dari mesin CDM kira-kira RM200,000.
Bagaimanapun katanya, jumlah keseluruhan wang dalam van berkenaan tidak dapat dipastikan kerana sebelum sampai ke lokasi terakhir itu, mereka sudah pergi ke enam tempat lain di sekitar Ipoh.
“Mangsa tidak dapat mengecam suspek yang ketika itu memakai pelitup muka berwarna biru. Suspek berambut pendek, berkulit cerah, kurus, memakai jaket warna hitam di dalamnya t-shirt leher bulat berwarna hitam dan berseluar panjang warna hitam.
“Tiada kerugian dan kecederaan dialami oleh mangsa. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian sedang diteliti dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan.
Semalam, rakaman video kejadian cubaan samun itu tular di media sosial.
-Malaysiapost

