Nurul Huda Abhar
KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu ingat kembali bagaimana lantikannya bagi jawatan itu untuk tidak terus sombong dan angkuh.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata ini kerana dengan tahapnya sebagai ketua ‘surat sokongan’ dia tidak memahami suasana politik negara.
“Sedar atau tidak Wan Ahmad Fayhsal, BN kini membentuk 43 kerusi di Dewan Rakyat, jumlah terbesar bagi gabungan PN.
“Jika tiada sokongan Barisan Nasional (BN) dan Umno, Perikatan Nasional (PN) tidak akan terbentuk, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan menjadi Perdana Menteri, GRS tidak akan memperoleh kemenangan di PRN Sabah.
“Dan satu lagi, jika PN tidak terbentuk, Wan Ahmad Fayhsal tidak akan bergelar Timbalan Menteri dan pasti sukar baginya memperoleh ‘surat sokongan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ini berikutan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang dimuatnaik di laman Facebook, seperti ini memperkecilkan BN dan Umno.
Mohd Hairi berkata, Ketua Armada Bersatu itu juga perlu ingat bahawa partinya hampir ‘karam’ ketika pergolakan dalaman.
Katanya, atas kerjasama BN dan Umno maka terbentuk kerajaan PN, dan Bersatu boleh diselamatkan.
“BN dan Umno boleh saja membiarkan Bersatu ‘karam’ dan tegas dengan pendirian mahu Dewan Rakyat dibubarkan.
“Tapi demi rakyat dan negara, BN dan Umno bersedia bekerjasama dengan Bersatu dan PAS seterusnya membentuk kerajaan baru menggantikan Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.
Semalam, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan juga menggambarkan kerjasama sedia ada tidak akan lama jika wujud sikap angkuh dari parti Bersatu.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PN) Sabah Sabtu lalu bukti kekuatan PN walaupun kerajaan baharu.
-Malaysiapost

