Kerajaan perlu laksana moratorium pinjaman bersasar – Anwar

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan.

Beliau berkata, kerajaan harus lebih fokus kepada golongan peminjam yang berpendapatan rendah yang masih dalam tempoh pemulihan berikutan pandemik Covid-19.

”Saya gesa kerajaan untuk segera mengkaji semula langkah ini, dan melaksanakan moratoriun pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama adalah kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

”Kita belum nampak sebarang pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bank perlu lebih jujur dalam proses pengurusan aset peminjam dan keuntungan semasa perlu dibentang pada kerajaan untuk pembangunan ekonomi negara.

“Sektor tersebut (bank) mesti telus dan ada kebertanggungjawaban. Kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) dan keuntungan terkini sektor perbankan.

“…dan membentangkannya di Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat merencana, mencari jalan dan dapat memungkinkan kebijakan yang munasabah dan menyeluruh,” katanya lagi.

Moratorium pinjaman enam bulan yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada April lalu, berakhir hari ini.

Terdahulu, pihak bank mengumumkan telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, di mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.

Dari 380,000 itu, sebanyak 98 peratus telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank. -Malaysiapost