UiTM perkenal istiadat Janji Temu untuk konvokesyen graduan

0
2

Fitri Nizam

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan penganugerahan Diploma/Ijazah secara Janji Temu yang membolehkan graduan merasai istiadat konvensional.

Bagaimanapun, istiadat Janji Temu yang diperkenalkan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, berkata norma baharu istiadat secara Janji Temu itu merupakan satu langkah alternatif demi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) graduan, ibu bapa dan seluruh warga yang terlibat.

Katanya, langkah itu diambil berikutan pandemik Covid-19 yang masih menjadi ancaman.

“Menyedari hakikat inilah maka Naib Canselor dan Pengurusan Tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana norma baharu.

“Melalui penganugerahan secara Janji Temu, graduan masih berpeluang untuk memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan akan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen secara konvensional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 yang dijadualkan bermula pada 24 Mac lalu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan PKP pada 18 Mac lalu.

“Memandangkan jumlah graduan UiTM bagi satu sesi konvokesyen adalah seramai lebih kurang 25,000 orang, Istiadat Konvokesyen UiTM yang lazimnya dilaksanakan sebanyak dua kali setahun tidak dapat dilakukan pada kali ini,” katanya.

Katanya lagi, sesi penganugerahan ini akan dijalankan di UiTM Shah Alam dan seluruh Kampus Cawangan berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh graduan.

“Sehubungan itu, Penganugerahan Diploma/Ijazah secara Janji Temu yang diperkenalkan ini adalah sebagai inisiatif universiti dalam mencapai matlamat yang diingini selaras dengan keadaan pandemik COVID-19 masa kini,” katanya. – Malaysiapost