DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) meminta semua ketua sayap Pemuda dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) supaya berpolitik secara matang dan mengambil sikap berhati-hati serta berhemah dalam mengeluarkan kenyataan.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, sayap Pemuda seharusnya menjadi contoh terbaik untuk rakyat dalam mencorakkan kepimpinan masa hadapan.
Katanya, kemenangan BN dan PN melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya menjadi contoh terbaik untuk mengukuhkan kerjasama politik ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kenyataan berbaur sindiran dan “mengangkat bakul” sendiri adalah satu langkah politik yang merugikan PN dan BN.
“Seharusnya, pemimpin anak muda melihat secara keseluruhan akan pengorbanan ahli parti di peringkat akar umbi yang berkorban masa, keringat dan wang ringgit untuk berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mengesa sayap Pemuda semua parti diperkasakan melalui perbincangan membina dan bukan serangan terbuka hingga mengakibatkan keresahan rakyat.
“Seharusnya, ucapan terima kasih ditujukan kepada pihak BN yang bertungkus-lumus berkempen untuk memberikan kemenangan kepada GRS.
“Ada antara sahabat-sahabat kita di dalam BN yang berkempen hingga dijangkiti Covid-19. Bingkisan ucapan terima kasih adalah satu contoh berpolitik secara matang,” katanya.
Difahamkan, beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan kritikan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Ketua Armada Bersatu, Wah Ahmad Fahysal Wan Kamal.
Wan Ahmad Fahysal mendakwa kekuatan PN banyak terkumpul pada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya tidak “ponggah”, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama.
Membalas kenyataan itu, Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa Umno sudah cukup banyak berkorban untuk Bersatu meskipun parti itu mempunyai bilangan kerusi yang sedikit. – Malaysiapost

