KEHADIRAN semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) di Magellan Sutera, di Kota Kinabalu sejak pagi tadi, menafikan spekulasi yang mereka menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).
Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, mereka berkumpul di situ untuk membuat persediaan ke Istana Negeri.
“Kami di sini sebagai persediaan untuk ke Istana Negeri, siapkan dokumen yang diperlukan sebelum kami bergerak ke sana pada bila-bila masa,” katanya.
Antara Adun PBS yang kelihatan ialah Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Julita Majungki (Matunggong).
Adun dari STAR pula antaranya Datuk Ellron Angin (Sook), Robert Tawik (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Turut kelihatan, Adun Bebas, Datuk Masiung Banah (Kuamut).
Adun dari Bersatu turut kelihatan antaranya, Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang).
Jeffrey berkata, jika semua proses sudah selesai, mereka semua akan ke Istana Negeri untuk menyaksikan upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu.
“Kalau hari ini selesai semua urusan, kita akan ke istana hari ini juga,” katanya.
Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan siapa Ketua Menteri yang akan mengangkat sumpah.
Ditanya sama ada beliau akan memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey berkata, tidak tahu mengenainya.
Khabar angin sebelum ini menyatakan PBS dan Star menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan. – MalaysiaPost

