PENGERUSI Parti Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor mendakwa, parti gabungan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan dirinya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan bersama antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di sebuah hotel, tengah hari ini.
“Saya ingin memaklumkan, GRS yang terdiri daripada PN, BN dan PBS telahpun bersetuju secara bersama untuk kita membentuk kerajaan negeri yang baharu.
“GRS telah bersetuju sebulat suara menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menjelaskan, majlis angkat sumpah Ketua Menteri difahamkan berlangsung esok di Istana Negeri
“Setakat ini, kita dimaklumkan angkat sumpah akan dilakukan esok pagi.
“Hari ini kita tidak (pergi) ke Istana Negeri. Saya ingat besuk (esok) kita pergi angkat sumpah,” katanya.
Ditanya adakah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri ada menyediakan susunan Kabinet? Beliau menjelaskan, perkara itu akan difikirkan sebaik sahaja Ketua Menteri selesai mengangkat sumpah dan terpulang kepadanya.
Katanya, ini adalah mandat rakyat yang telah diberikan kepada GRS untuk memimpin dan berjanji akan menunaikan tanggungjawab itu untuk memastikan Sabah terus maju.
“Kita juga akan terus membuat pembelaan kepada rakyat dan akan sedaya upaya melakukan yang terbaik, terutama sekali menunaikan tanggungjawab mengikut manifesto yang telah kita lancarkan baru-baru ini.
“Saya ucapkan terima kasih pada semua rakyat Sabah yang telah memilih GRS dan kepada wakil rakyat yang telah terpilih dengan amanah dan tanggungjawab yang kita akan pikul untuk Sabah,” katanya. – Malaysiapost

