PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin Sabah mampu dipulihkan di bawah kepimpinan kerajaan baharu Gerakan Rakyat Sabah (GRS).
Tanpa mengulas lanjut pelantikan Pengerusi Pimpinan Bersatu Sabah, Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang baharu, Bung Moktar berkata, beliau bersama GRS akan memulakan langkah bagi memastikan rakyat Sabah mendapat pembelaan.
“Saya yakin Sabah akan pulih bawah kepimpinan GRS. Kita akan mulakan langkah kita untuk memastikan rakyat dibela, tidak lagi main politik.
“Kita mahu tumpukan usaha untuk membangunkan negeri,” katanya pada sidang media bersama dengan pimpinan GRS selepas perjumpaan tertutup di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadir, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS juga hadir sama.
Terdahulu, pada sidang media itu, Hajiji menyatakan, beliau menerima sokongan sebulat suara dari pimpinan GRS untuk melantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Menurut beliau, pencalonannya itu disokong semua wakil rakyat GRS yang terdiri daripada PN, BN dan PBS.
Kata Hajiji, beliau bersama semua ADUN GRS akan ke Istana Negeri untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri, esok. – Malaysiapost

