PEMIMPIN tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini “mengunci mulut” ketika ditanya mengenai mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, petang ini.
Malah, beberapa pemimpin kanan termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu enggan bertemu media sebaik keluar dari bilik mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadhil dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad juga turut tidak memberi sebarang komen kepada media.
Selain itu beberapa pemimpin PH meminta media supaya menunggu kenyataan yang dikeluarkan pakatan itu.
Mesyuarat berkenaan berlangsung kira-kira jam tiga petang tadi.
Ia dipercayai turut menyentuh tentang pengumuman Anwar yang mendakwa memiliki sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan baru.
Rabu lalu, pada sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, Anwar yang juga Presiden PKR gagal mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika ditemui media berkata ia sekadar mesyuarat bulanan.
“Hari ini mesyuarat bulanan PH, tak ada apa-apa,” katanya. – Malaysiapost

