Agong gering kerana keracunan makanan, kecederaan sukan

0
2

Fitri Nizam

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana keracunan makanan dan kecederaan ketika bersukan.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berhubung status kesihatan Al-Sultan menerusi kenyataan petang ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah telah menjalani rawatan keracunan makanan di IJN pada malam Isnin lalu.

“Rawatan intervensi pula dilakukan susulan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) Selasa yang menunjukkan kecederaan dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada Khamis,” katanya.

Seperti sedia maklum, Seri Paduka Baginda sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bola sepak, skuasy, hoki dan golf.

Bagaimanapun, turut dinyatakan Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

“Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Al-Sultan Abdullah amat tersentuh dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Seri Paduka Baginda dan menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada seluruh rakyat.

Namun Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan oleh kerajaan dan tatacara kebiasaan baharu berikutan situasi semasa Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan atas jumlah kes positif Covid-19 yang naik secara mendadak ini. Sehingga 27 September 2020, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif COVID-19 di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari negeri Sabah, yang telah dikesan daripada 20 hingga 27 September, 2020,” katanya. – Malaysiapost