MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penukaran nama Jalan Raja Laut kepada Jalan Palestin.
Menerusi ciapan Twitternya, Annuar berkata, nama Jalan Raja Laut membawa makna besar kepada sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.
“Saya tiada halangan nak makan (nak namakan) jalan di KL (Kuala Lumpur) Jalan Palestin, sebagai tanda sokongan KL kepada perjuangan pembebasan Al-Quds.
“Namun, saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar dalam sejarah Melayu dan KL,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga turut mempersoalkan mengapa DBKL tidak memilih jalan yang menggunakan nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan banyak lagi kepada nama baharu.
Pertukaran nama itu berkuat kuasa kelmarin dan dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Terdahulu, media melaporkan DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, penukaran nama jalan itu dibuat selepas mengambil kira sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.
Nor Hisham berkata, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus ketika Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.
“Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.
“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan, seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” katanya.-Malaysiapost

