Fitri Nizam
CIAPAN Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa menimbulkan persoalan sama ada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ahli Parlimen Ketereh itu menyebut angka 41 dalam ciapannya sambil menjelaskan, gabungan berkenaan akan membincangkan langkah seterusnya bagi membentuk kerajaan prihatin rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah sudah bersuara, 41-32. GRS akan membentuk kerajaan baharu Sabah insya-Allah.
“GRS akan bincang esok langkah seterusnya secara bersama bagi membentuk kerajaan prihatin rakyat Sabah,” katanya menerusi Twitternya.
GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN, Star dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh 38 kerusi sekali gus akan menubuhkan kerajaan negeri.
Tiga calon Bebas yang menang malam tadi ialah Datuk Masiung Banah yang mengekalkan kemenangan di DUN Kuamut, Datuk Rubin Balang di DUN Kemabong dan Datuk Ruddy Awah di DUN Pitas.
Rubin sudah menyatakan pendiriannya untuk menyokong PN dan sedia menyokong sesiapa saja dicadangkan PN untuk menjadi ketua menteri. – Malaysiapost

