DAP menunjukkan prestasi meyakinkan dengan memenangi enam daripada tujuh kerusi ditandingi di bawah panji Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
“Kami rasa terhutang budi, berterima kasih kepada pengundi dan penyokong di Luyang, Kapayan, Likas, Tanjung Papat, Sri Tanjung dan Elopura yang memberi majoriti tambahan kepada kami.
“Bagi kegagalan di Bingkor pula, kami akan meneruskan usaha untuk berkhidmat demi membuktikan keikhlasan kepada penduduk setempat di sana.
“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pekerja dan sukarelawan DAP yang telah membantu kami memenangi keyakinan pengundi. Anda sememangnya hebat!,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Guan Eng bagaimanapun berkata kejayaan itu dibayangi oleh kegagalan Warisan Plus untuk memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan.
Katanya, ramai yang berasa sedih dan buntu mengapa sebuah kempen pilihan raya yang penuh dengan idealisme dan aspirasi tidak tercapai matlamatnya.
“Kami percaya Datuk Seri Shafie Apdal dan mesej perpaduan beliau paling sesuai untuk Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum dan persefahaman agama.
“Kita perlu terus menjunjung obor perpaduan untuk menyinari masa depan demi anak-anak kita.
“Perjalanan ini tidak boleh terhenti di sini. Jangan kita berputus asa dan menyerah kalah. Kita mesti terus membina sebuah negeri dan negara yang lebih baik demi semua rakyat Sabah dan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

