Nurul Huda Abhar
SETELAH berjuang sekian lama menanggung sakit tua, seekor anjing pengesan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diberi nama “Tho” mati pada 19 September lalu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang memaklumkan Tho mati pada usia 12 tahun dan mula berkhidmat di Seksyen K9 unit itu pada tahun 2018.
Turut terkesan dengan kehilangan Tho adalah tuan seliaannya, Sarjan Patrick Sandai yang telah bersama anjing pengesan itu selama 12 tahun.
“Tho yang berumur 12 tahun 8 bulan dilahirkan pada 30 Januari 2008 berkhidmat di Seksyen K9 JSJ IPK Pahang pada 1 Jun 2018 yang mana sebelum ini berkhidmat di Seksyen K9 JSJ IPK Johor.
“Tho banyak menyumbang khidmat bakti dalam siasatan melalui pengesanan dan merupakan anjing pengesan bagi membantu kes narkotik di bawah seliaan anggota K9, Sarjan Patrick Sandai di dalam elemen D6 JSJ,” tulis unit itu.
Selain itu, Tho memiliki pangkat “Sarjan” sama seperti mentornya, kerana Tho adalah aset hidup PDRM yang membantu pihak berkuasa membanteras jenayah.
“Selamat berehat buat selamanya, Tho. Sesungguhnya kehilangamu amat dirasai dan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa baktimu kepada pasukan selama ini,” tulisnya.
Untuk makluman, jangka hayat bagi seekor anjing adalah satu tahun umur anjing bersamaan dengan tujuh tahun umur manusia. – Malaysiapost

