KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum masalah kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA1 dan KLIA2) berikutan peraturan baru berhubung saringan Covid-19 yang mula dilaksanakan, hari ini.
Ia susulan penumpang yang tiba dari Sabah mengadu perlu beratur di koridor yang sesak hingga tiga jam sebelum mereka dapat menerima ujian Covid-19 dengan sebahagian daripada mereka menyatakan kebimbangan bahawa mungkin dijangkiti wabak dalam proses tersebut.
“KKM telah menambah kakitangan di KLIA dan KLIA2 untuk menjalankan ujian saringan kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan domestik.
“Peraturan baharu itu bermula hari ini dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani HSO (kuarantin rumah),” kata KKM dalam kenyataan.
Berdasarkan peraturan baru itu, semua individu yang tiba dari Sabah mesti menjalani ujian Covid-19 dan menjalani kuarantin 14 hari di rumah.
Peraturan itu adalah susulan lonjakan kes Covid-19 di Sabah, terutama di pantai timur negeri itu.
KKM menjangkakan kemasukan ke semenanjung dari Sabah setelah pilihan raya negeri berakhir semalam.
Petang tadi KKM memaklumkan sekurang-kurangnya 15 kes Covid-19 baru hari ini di lima negeri di seluruh semenanjung Malaysia membabitkan individu yang pulang dari Sabah.-Malaysiapost

