GRS perlu bagi laluan kepada Umno jadi KM Sabah

0
2

SEMUA parti yang mengganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya memberi laluan kepada calon Umno untuk diangkat menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu, kata Penasihat Kehormat Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam, Mohd Asna Amin.

Beliau berkata, perkara itu harus dilakukan kerana Umno adalah parti terbanyak memenangi kerusi di dalam gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.

Katanya, tujuh kerusi Dun yang dimenangi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dari bekas ahli Umno yang meninggalkan parti setelah Warisan menguasai pentadbiran kerajaan Sabah.

“Mereka terkenal sebagai YB dulu adalah jasa- jasa dari Umno.

“Umum mengetahui bahawa Majlis Tertinggi Umno sebulat suara setuju bahawa semua kerusi yang dimenangi oleh Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan tetap ditentang oleh Umno untuk PRU seterusnya.

“Namun, situasi berbeza di PRN Sabah, Umno berlembut hati memberi laluan kepada calon PN atau Bersatu,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat calon yang paling layak untuk diangkat menjadi Ketua Menteri Sabah kerana telah bertungkus lumus membantu kemenangan calon BN dalam PRN Sabah.

“Kita juga mengetahui pendirian Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) bahawa parti yang paling banyak memenangi kerusi akan diberi keutamaan untuk menjadi calon Ketua Menteri.

“Ini adalah prinsip demokrasi iaitu kerusi yang terbanyak dalam sesuatu gabungan, mereka akan memiliki suara atau kelebihan untuk menentukan siapa Ketua Menteri,” katanya.

Tegasnya, sebarang kelewatan dalam memutuskan calon Ketua Menteri Sabah akan memberi peluang kepada Parti Warisan untuk memujuk parti parti lain bergabung dengannya.-Malaysiapost