PRN Sabah: BN, GRS bincang hala tuju kerajaan baharu

0
2

BARISAN Nasional (BN) Sabah akan berbincang dengan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai hala tuju gabungan itu selepas berjaya membentuk kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya juga bersedia membincangkan apa saja masalah bagi memastikan kerajaan baharu itu terus membela rakyat.

“Setakat jam 9.23 malam ini, saya ingin memaklumkan bahawa GRS telah mendapat majoriti mudah dan boleh membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, malam ini.

Bung Moktar yang turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah.

“Insya-Allah, BN dan GRS akan berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan terus membela nasib rakyat,” katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, beliau cukup yakin kerajaan baharu pimpinan GRS dapat dibentuk dengan semangat setiakawan.

“Saya turut berterima kasih kepada jentera UMNO dan rakan komponen BN lain yang berkampung di Sabah membantu memenangkan calon BN termasuk Presiden UMNO, Naib-Naib Presiden, Bossku dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, soal siapa Ketua Menteri akan dibincangkan bersama rakan GRS dalam masa terdekat.-Malaysiapost