Jepun tekad anjurkan Olimpik

0
2

JEPUN bertekad untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020 yang ditangguhkan pada tahun 2021 di sebalik pandemik COVID-19 yang masih menular.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga berkata, pada musim panas tahun depan, Jepun bertekad untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.

“Ia sebagai bukti manusia sudah menewaskan pandemik ini,” kata Suga pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti dipetik AFP.

Suga berkata, beliau akan terus berusaha untuk menyambut kedatangan pelawat ke temasya itu dalam keadaan selamat.

Susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, temasya terbesar dunia itu yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu terpaksa ditangguhkan pada tahun depan.

Bagaimanapun, dengan peningkatan jumlah jangkitan yang berlaku di seluruh dunia, persoalan mula timbul sama ada temasya itu boleh diteruskan tahun depan.

Penganjur dan pegawai Olimpik menegaskan temasya berkenaan tetap akan berlangsung dengan Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates berkata ia perlu diteruskan bagi mengelak kekecewaan dalam kalangan atlet sekiranya ia dibatalkan.

Namun, pakar perubatan memberi amaran penganjuran temasya berskala besar di peringkat antarabangsa mungkin sukar dilaksanakan sekiranya pandemik berkenaan masih belum mampu dikawal menjelang musim panas tahun depan.

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan semula akan berlangsung pada 23 Julai hingg 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos hingga 5 September 2021. -Malaysiapost