Covid-19: Empat masjid di Kuantan ditutup

0
2

EMPAT masjid sekitar Kuantan diarah tutup untuk sementara waktu berkuat kuasa semalam, berikutan terdapat kes positif Covid-19 di kawasan berhampiran.

Antara masjid terlibat ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukan Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid Daerah Al-Hidayah.

Menurut Pengerusi MSAS Sungai Isap, Dr Sharafuddin Aisa Osman, dengan penutupan itu, semua solat fardu dan Jumaat tidak dibenarkan.

“Semalam saya dimaklumkan oleh Kadi Kuantan bahawa empat masjid tersebut perlu ditutup selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan individu positif Covid-19.

“Jadi, solat Jumaat dan fardu serta segala bentuk aktiviti keagamaan terpaksa ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Semalam, tular satu hebahan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai penutupan lima masjid susulan KKM mengesan satu kes positif Covid-19.

Dalam WhatsApp tersebut menyenaraikan Masjid Bukit Rangin, Masjid Sultan Ahmad Shah, Masjid Sungai Isap Al-Falah, Masjid Permatang Badak Lama dan Masjid Al-Hidayah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan satu kes positif baharu Covid-19 dikesan melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Sabah, petang semalam.

Beliau berkata, semua jemaah dan ahli kariah dinasihatkan solat di rumah atau surau dan masjid berdekatan yang lain sementara menunggu tindakan lanjut oleh pihak berwajib.

Dalam pada itu, Dr Sharafuddin berkata, azan dan solat akan didirikan oleh pegawai masjid bertugas seperti biasa, namun jemaah dan ahli kariah tidak digalakkan hadir berjemaah.

Katanya, notis akan ditampal di pagar dan pintu masuk masjid untuk memaklumkan penutupan itu kepada jemaah serta orang awam.

“Insya- Allah, semua ibadat dan aktiviti di masjid ini akan diteruskan semula selepas semua tindakan pembersihan, pengesahan daripada pihak berwajib dilakukan atau sehingga keadaan mengizinkan,” katanya. – MalaysiaPost