PRN Sabah: Buat pilihan untuk Sabah – Anifah

0
2

HANYA beberapa jam sebelum hari mengundi esok, PARTI Cinta Sabah (PCS) mengajak rakyat bangkit bersama parti itu untuk menggerakkan ekonomi Sabah tanpa muslihat tersembunyi mahu pun campur tangan orang luar.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman turut memberi jaminan PCS akan sentiasa bergerak ke depan dengan menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai pemacu utama ekonomi negeri itu.

Menerusi hantarannya di Facebook, Anifah berkata, beliau memahami keadaan rakyat Sabah yang dahagakan perubahan kerana terlalu lama hidup dalam keadaan tidak membangun dari segi ekonomi, infrastruktur dan taraf kehidupan.

Katanya, beliau percaya dan yakin bahawa kesusahan yang dialami menjadikan rakyat Sabah kuat dan bijak.

“Anak-anak Sabahku, PCS mendengar rintihan serta keluhan yang disuarakan oleh rakyat. Kami mendengar permintaan rakyat yang ingin mereka dibawa ke arah yang lebih maju.

‘”PCS memahami paksi kejayaan pentadbiran adalah sebenarnya kejayaan rakyat Sabah yang tidak mengenal sempadan.

“Sesuatu pentadbiran akan diiktiraf sebagai pentadbiran yang berjaya dan kuat hanya apabila rakyatnya boleh kuat berdiri teguh atas kaki sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Anifah mengajak rakyat untuk mengundi PCS sekali gus memastikan perjuangan menuntut kembali hak yang termaktub dalam perlembagaan dilaksanakan.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak mengundi Warisan Plus, Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, beliau percaya rakyat boleh melihat Warisan Plus yang hipokrit dengan slogan ‘Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti’ sedangkan parti itu sendiri yang menanam kebencian dan melagakan kaum di negeri ini kerana pilih kasih dan membuat ucapan dalam bahasa kaum tertentu.

“Kita tak perlu Warisan Plus menjerit mengenai perpaduan, tidakkah mereka tahu rakyat Sabah ini sejak azali lagi telah bersatu-padu, hanya untuk mereka mengacau-bilaukan perpaduan itu selama 26 bulan mereka memimpin?

“BN dan GRS pula melaungkan #RaduTatapRadu, ya itu saja mereka tahu, asyik beradu dan berlawan sahaja hingga rakyat terabai dan terumbang-ambing,” katanya.

Anifah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah peluang rakyat mengubah terus pentadbiran dengan memberi sokongan kepada parti yang benar-benar mendukung cita-cita negeri itu supaya diterajui oleh rakyat Sabah sendiri. -Malaysiapost