Covid19: Kes positif Kluster Benteng meningkat 743

0
2

Nurul Huda Abhar

SEBANYAK 111 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 97 kes berlaku di Sabah, kata Ketua Pengarahan Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, terdapat 10 kes yang dikesan positif Covid-19 setelah kembali dari Sabah pada Minggu Epid ke-39 iaitu 20 September hingga hari ini.

Beliau berkata, 74 kes yang dicatatkan adalah daripada Kluster Bangau-Bangau yang dikesan di Semporna, manakala 13 kes lagi daripada Kluster Benteng di Lahad Datu.

“Terdapat 74 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 134 kes.

“Daripada 134 kes itu, 90 kes adalah di kalangan warganegara manakala 44 warga Filipina,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 13 kes baharu Kluster Benteng direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster berkenaan sebanyak 743 kes dengan 10,634 individu telah disaring.

“KKM menggesa semua masyarakat di Sabah untuk lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan
prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk semasa tempoh berkempen bagi Pilihanraya Negeri Sabah dan semasa hari mengundi.

“Masyarakat sangat digalakkan untuk saling tegur menegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19,”katanya. -Malaysiapost