ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan mengeluarkan kenyataan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganya ketika pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin.
“ATM menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga ATM setelah mencelup jari dengan dakwat sewaktu proses mengundi awal.
“Maklumat yang tular di media sosial tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah,” kata kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 Markas ATM.
ATM menegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Sila dapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan situasi semasa penularan wabak Covid-19,”katanya. – Malaysiapost

