DATUK Seri Mohd Shafie Apdal enggan memberikan maklum balas terhadap dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diterimanya untuk membentuk kerajaan baharu .
Ketua Menteri Sabah itu sebaliknya menegaskan beliau hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu, saya mahu fokus kempen pilihan raya yang ada dua hari lagi. Saya di sini untuk menang pilihan raya. Kami mahu sokongan terhadap kerajaan Warisan di Sabah,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Anwar semalam yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan, berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama dan kesatuan yang ditunjukkan semua parti dalam gabungan Warisan Plus bagi memenangi PRN kali ini.
Malah, katanya, beliau tidak menyangka dapat melihat kerjasama erat di antara Warisan, Upko, DAP, PKR dan Amanah yang sama-sama berkempen untuk menarik sokongan pengundi.
“Ada pemimpin yang tidak bertanding tetapi bekerjasama untuk memastikan calon yang bertanding menang,” katanya.
-Malaysiapost

