Tolak tindakan buta tuli ahli politik sengaja jejas kestabilan politik – PM

0
3

TAN Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

Perdana Menteri turut mengajak rakyat bersama dengan beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemudi negara dalam keadaan masih berhadapan krisis ekonomi dan kesihatan ketika ini.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada sidang media khas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari tadi yang mendakwa beliau mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin berkata, pengumuman beliau menerusi Perutusan Khas Kita Prihatin hari ini menandakan kerajaan PN mendengar rintihan rakyat.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini.

“Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan saudara dan saudari sekalian.

“Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan,” katanya sebelum mengakhiri perutusan khas itu yang disiar secara langsung di pelbagai platform media.

Perdana Menteri seterusnya berkata, beliau yakin kepada kekuatan semangat rakyat Malaysia dan mengajak semua bersama-sama mendoakan kemakmuran negara dan kesejahteraan seluruh rakyat.

“Mudah-mudahan pakej Kita Prihatin ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya. – Malaysiapost